JANUARI 2024

Dr Wan Junaidi Dilantik TYT Sarawak Kelapan


KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini.

Memetik laporan Bernama, Dr Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Junaidi, 77,  dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari  2028.

Pelantikan Wan Junaidi adalah bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014. 

Sementara itu,  Dr Wan Junaidi 

turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. 

Istiadat itu, yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri. 

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadilah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beberapa menteri kabinet.

Gambar: ASTANA SARAWAK

Sumber dari : Jiwa Bakti